Wednesday 13 November 2013

Pengenalan


Assalamualaikum.
Salam pengenalan.

Dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan pada 25 November 1988 dan diberi nama Siti Noratikah Binti Mohamad. Kehidupan saya seperti biasa, tetapi apa yang seronok dalam kehidupan masa kecil saya ialah saya sering bertukar pengasuh. Perkara ini tidak terjadi kepada saya seorang, tetapi kepada adik - adik saya yang lain. Mungkin kerana sifat kami yang agak nakal. Kerana seingat saya sendiri, saya pernah diikat di tingkap oleh papa saya. Ibu bapa kami adalah peniaga kedai runcit, mereka terpaksa mencari pengasuh untuk menjaga kami. Dan apa yang paling seronok mengenai pengasuh saya ialah mereka sangat baik dan lembut. Walaupun semua pengasuh - pengasuh kami sudah menghadap Ilahi, tetapi kami masih berhubungan dengan anak - anak mereka. Ibu bapa saya juga pernah menghantar saya ke kampung untuk di jaga oleh wan dan atok kami. Tetapi Wan(belah ibu) agak garang dan tegas.Oleh sebab itu, saya lebih gemar melepak di rumah Mak Tua(kakak papa). Kadang - kadang tidur rumah Mak Tua. Menghabiskan masa di kampung ketika kecil memang menyeronokkan. Mandi sungai adalah aktiviti harian kerana ketika itu sungai masih bersih. Berada di kampung seperti disayangi semua orang. 

Kemudian, saya kembali semula ke kampung halaman di Kuantan,Pahang. Menerima pendidikan tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan menyampung pengajian diploma dalam negeri dan daerah yang sama. Tak boleh lari dah, memang anak jati Pahang walaupun berketurunan Kelantan(Siam) dan Minang. Mak keturunan Minang, lahir di N.9 dan dibesarkan di Kelantan. Orang Kelantan terkenal dengan sikap suka berniaga mereka. Mungkin sifat semulajadi saya lahir dari situ.

Sebaik habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya terus bekerja di mini market dalam kawasan kampung untuk mengisi masa lapang. Sebenarnya, saya mahu berehat saja di rumah, tetapi atas paksaan mak dan tak tahan bebelan saya paksakan diri bekerja di mini market itu. Hanya bertahan dua bulan sahaja bekerja di situ, tak gemar ikut masa. Kali kedua saya bekerja di tempat sama ialah pada cuti semester pengajian diploma saya. Tetapi hanya bertahan sebulan. Saya menyedari kelemahan diri saya iaitu saya tidak suka bekerja di bawah arahan orang lain.

Sebenarnya saya meniaga sejak dari sekolah rendah lagi. Saya menjual kad nama. Pada waktu itu kad nama yang di hias dengan gambar artis dan kartun sangat di minati. Saya mengambil peluang itu untuk menjadi ejen menjual kad nama. Ditambah lagi dengan kad nama percuma jika mencapai target. Ramai kawan - kawan berurusan dengan saya. Keuntungan saya pada ketika itu dikira apabila kad nama percuma yang sepatut saya dapat itu, saya gunakan untuk menjualnya semula pada kawan - kawan. Dan ada lagi perniagaan yang saya lakukan. Ada juga perniagaan yang tidak mendatangkan untung langsung. Saya pun tak tahu nak kategorikan kepada apa perniagaan tanpa untung itu. Sehingga kini saya masih berfikir mengenai situasi ini. Ketika di kolej juga saya berniaga. Pelbagai terutamanya makanan. Tetapi nasib tidak menyebelahi saya, pengajian saya tersangkut pada semester 7. Mak saya mengarahkan saya untuk berulang dari rumah ke kolej. Lesen kenderaan tiada lagi pada ketika itu. Jadi, saya redah je. Kadang - kadang ikut laluan kampung yang agak membahayakan dan sunyi. Pada masa yang sama juga, saya ditugaskan membantu mak menjaga kedai runcit. Bermula dari situ, mak saya mencuci fikiran saya mengenai perniagaan. Oleh kerana itu juga saya tidak dibenarkan menyambung pelajaran ke peringkat ijazah. Tiada siapa diharap untuk membantu mak saya dikedai. Adik - adik masih di sekolah. Adik yang bongsu tinggal di negeri lain untuk dijaga oleh ibu bapa angkat die. Papa saya meninggal ketika saya di tingkatan 4 dan adik paling bongsu berumur 7 tahun. Kemudian anak angkat mak saya jadikan adik saya sebagai anak angkat nya sehingga dia berumur 12 tahun. Sesuatu yang amat menyedihkan. Budak tak kenal apa dan dihantar ke tempat lain. Sekarang adik pun dah umur 16 tahun. Mak saya pun bahagia dengan suami barunya. Bersyukur kami ada ayah tiri yang baik. Kembali semula kepada perniagaan, sejak dari saya menolong mak di kedai runcit, saya mula menjual tambah nilai secara reload. Alhamdulilah, semakin maju, sehari dapat untung lebih kurang RM20. Kemudian dalam kedai runcit itu juga saya menjual telefon bimbit dan aksesori telefon. Dalam jangkamasa 2 tahun, saya diberi peluang oleh Allah S.w.t untuk menghadiri kursus membaiki telefon. Jadi saya lebih memahami mengenai telefon bimbit. Terima kasih kepada Ecer dan Ump kerana memberikan peluang ini kepada saya.

Ketika di kolej, saya mengambil jurusan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. Ia bukan minat saya kerana ketika saya bersekolah di Sekolah Menengah Teknik Kuantan, saya mengambil jurusan Kejuruteraan Mekanikal. Selepas tamat SPM, saya berhasrat untuk sambung pengajian dalam bidang yang sama. Tetapi saya tangguhkan dahulu kerana saya nak rehat panjang. Mungkin kerana mak saya sakit mata lihat saya terlampau rehat, mak saya pun daftarkan saya ke kolej Poly Tech Mara Kuantan dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

Kini, minat saya adalah lebih ke arah elektronik sebab saya suka lihat litar. Tetapi saya pernah ulang peperiksaan subjek elektronik. Walaupun saya sudah mengikuti kursus membaiki telefon, saya hanya mampu membaiki kerosakan - kerosakan kecil.

Sejak menjadi usahawan sepenuh masa, saya sering membaca buku mengenai kejayaan usahawan yang mengalami jatuh bangun dalam perniagaan mereka. Buku yang tidak berkaitan dengan keusahawanan juga saya baca. Saya pernah membaca kisah seorang ibu yang disahkan mengidap penyakit yang sehingga kini tiada penawar. Saya juga amat menggemari kisah - kisah pahlawan islam yang sentiasa berusaha untuk mempertahan agama Allah s..w.t. Bagi pahlawan - pahlawan Islam ini, saya yakin mereka berjuang bukan kerana diri mereka, tetapi semata - mata kerana Allah dan Rasul. Dalam perniagaan saya, saya sendiri cuba menerapkan nilai dan jiwa berniaga bukan kerana wang tetapi kerana minat. Tetapi selalu apa yang selalu pemikiran saya semaikan ialah berniaga kerana wang. Sehingga kini saya cuba mengikis pemikiran itu sedaya - upaya. Saya sepatutnya tidak perlu takut jika gagal, saya hanya perlu takut jika tidak mampu bangkit dari kegagalan. Saya jenis mudah putus asa. Tetapi ibu saya selalu berpesan, "kalau mahu berjaya bukan sehari dua usahanya tetapi selama - lamanya. Di dunia ni banyak peluang untuk berjaya, sekiranya kamu gagal mengenai perkara itu, masih banyak perkara lain kamu boleh cuba. Tetapi setiap perkara yang kamu cuba itu haruskan dilakukan bersungguh - sungguh. Kemudian, jika kamu gagal, kamu tidak akan menyesal kerana kamu sudah berusaha untuk itu."

Kepada rakan - rakan blogger yang ingin beriteraksi dengan saya secara dekat boleh ke 'facebook' saya https://www.facebook.com/akulahkakyusz. Di kemudian hari, saya akan maklumkan mengenai 'facebook page' untuk produk saya.

Hampir setahun saya membuka perniagaan menjual telefon dan aksesori secara sepenuh masa. Dahulu menumpang dalam kedai runcit. Kini sudah hampir dua minggu saya berpindah ke kedai yang baru. Semangat pun baru. Saya akan cuba memenuhkan kedai saya dengan telefon dan aksesori dalam masa dua bulan ini. Berharap pelanggan dapat menerima perubahan baru. Kedai lama kelihatan seperti reban ayam. Hanya berurusan melalui tingkap.

Saya berharap melalui blog dan fb saya dapat meluaskan jaringan pelanggan saya dan dapat mengenali rakan - rakan baru. Disamping berniaga, saya boleh memperolehi pengalaman dan berkongsi kisah sehari saya dengan rakan - rakan blogger.

Kita akan berjumpa lagi, Insyaallah.

No comments:

Post a Comment